Banjir Kuala Lumpur: JPS saran guna tasik dalam taman awam sebagai kolam takungan
Fauzi Suhaimi
Februari 10, 2021 20:25 MYT
Februari 10, 2021 20:25 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) proaktif untuk menjadikan semua tasik di taman awam sekitar Kuala Lumpur termasuk Taman Tasik Titiwangsa sebagai kolam takungan banjir.
Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, ini kerana, kawasan tersebut mampu menyediakan ruang untuk kapasiti air tertentu sekali gus berupaya menyelesaikan permasalahan banjir jika berlaku hujan lebat.
Menurut beliau, langkah itu juga adalah lebih praktikal dan menjimatkan kos berbanding membina kolam takungan yang baharu.
Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu masih dalam peringkat kajian dan perbincangan melibatkan semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Pembinaan kolam takungan yang baharu tidak dinafikan mampu menyelesaikan isu banjir secara fizikal tetapi kekangan ruang dan kos yang terlalu tinggi menjadikan pembinaan itu tidak pratikal.
"Selain membina kolam baharu, alternatif lain adalah dengan menggunakan kolam sedia ada di semua taman awam sekitar ibu negara termasuk kolam di Taman Tasik Titiwangsa sebagai kolam takungan air jika berlaku banjir.
"Perkara ini dinilai berdasarkan konsep kejuruteraan di mana apa-apa kolam air yang sedia ada harus dikekalkan atas tujuan ia berpotensi menjadi kolam takungan banjir," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Astro AWANI sebelum ini mendedahkan projek pembinaan Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Sultan Yahya Petra, di sini yang merupakan sebahagian daripada projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus didakwa gagal berfungsi kerana tidak diselenggara pihak berwajib sehingga menyebabkan kawasannya dipenuhi lumpur, tanah dan sampah.
Nor Hisham dalam kenyataan semalam turut mengesahkan projek berkenaan sepatutnya menjadi kolam tadahan air, tergendala sejak Jun 2019 kerana kontraktor yang dilantik telah ditamatkan kerja atas sebab-sebab ketidakpatuhan syarat kontrak.
Dalam pada itu, beliau menambah, tindakan jangka panjang bagi menyelesaikan isu banjir akan dibuat selepas penilaian menyeluruh dilakukan terhadap program Tebatan Banjir Kuala Lumpur (KLFM).
Katanya, perkara itu akan dinilai dengan mengambil kira keberkesanan semua projek yang dilaksanakan termasuk RTB Sungai Bunus dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
"Menerusi KLFM, terdapat kompenen kajian pelan induk tebatan banjir yang telah dilaksanakan JPS dan dalam kajian itu, kita akan kenal pasti sejauh mana keberkesanan semua projek yang telah dibina selama ini.
“Ini kerana, kesemua projek dalam KLFM perlu dinilai secara menyeluruh untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan kefahaman terhadap sistem yang digunakan.
“Semua penilaian itu akan mengambil kira tindakan seterusnya yang wajar diambil untuk kepentingan bersama,” katanya lagi.
#Astro Awani
#Kuala Lumpur
#banjir
#Malaysia
#Jabatan Saliran dan Pengairan
#JPS
#kolam tadahan
#guna tasik di taman awam
#Taman Tasik Titiwangsa
#Banjir Kuala Lumpur