Banjir Kuala Kedah: Air laut pasang melimpah di darat

Adie Sufian Zulkefli
November 25, 2022 09:40 MYT
Antara kawasan yang terjejas banjir ialah Terminal Feri Kuala Kedah, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah. - Foto APM
ALOR SETAR: Fenomena air laut pasang dan melimpahi ke seluruh kawasan Kuala Kedah berlaku lagi jam 12 tengah malam hingga 2 pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, air laut naik awal setengah jam berbanding jam 12.30 malam pada Khamis.
Beliau berkata, paras air mencecah 2.99 meter (m) berbanding 2.95m sebelumnya dan mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air.
“Antara kawasan yang terjejas ialah Terminal Feri Kuala Kedah, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah.
"Bagaimanapun, tiada rumah dan premis perniagaan yang terjejas dan keadaan kembali terkawal selepas air mulai surut dua jam kemudian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norlizawati bersyukur ketika kejadian tiada hujan dan angin kuat yang boleh mengakibatkan paras air melimpah memasuki kediaman dan premis perniagaan.
Namun, beliau menasihati penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai di Kuala Kedah supaya berhati-hati selain mengambil langkah persediaan berikutan air pasang besar dijangka berlaku awal pagi esok dan Sabtu ini.
#air laut melimpah #banjir #Kedah #Kuala Kedah
;