Banjir: KPKM sedang nilai kerosakan, kerugian sektor pertanian dan penternakan

Bernama
Mac 8, 2023 18:00 MYT
Chan Foong Hin berkata ia bagi memastikan semua petani dan penternak terjejas menerima bantuan sewajarnya selepas proses penilaian dilakukan. - Foto BERNAMA
PORT DICKSON: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menilai dan mengenal pasti kerosakan serta jumlah kerugian dialami sektor pertanian dan penternakan terutama di Johor yang terjejas akibat banjir.
Timbalan Menterinya Chan Foong Hin berkata ia bagi memastikan semua petani dan penternak terjejas menerima bantuan sewajarnya selepas proses penilaian dilakukan.
"Ketika ini, kementerian (KPKM) melalui pelbagai agensi di lapangan, kita sedang mendapatkan bancian penuh (mereka yang terlibat banjir) baru boleh kita tentukan berapa jumlah pampasan yang boleh diberikan kepada mereka.
"Setakat ini belum ada jumlah kerugian sebenar, lagipun banjir belum surut sepenuhnya, kita tak dapat komen sebelum dapatkan maklumat terperinci," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian Dan Makanan (NAFEC) 2023 yang berlangsung dua mulai hari ini di sini.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus hari ini dilaporkan berkata situasi banjir di Johor, Melaka dan Pahang semakin pulih dan akan memasuki fasa pascabanjir dalam masa terdekat.
Setakat pagi tadi, seramai 43,007 mangsa banjir di negeri berkenaan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas melibatkan 27,774 mangsa.
-- BERNAMA
#banjir #PPS #mati lemas #NAFEC 2023
;