Banjir Kota Belud tiada tanda pulih

Ruzaini Zulkepli
Disember 13, 2017 09:31 MYT
Satu Jawatankuasa Pemulihan Bencana Negeri sudah diaktifkan bagi membantu mereka yang terjejas selain membekalkan makanan, minuman dan keperluan asas kepada mangsa banjir terlibat. - Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI
Situasi banjir di daerah ini tidak menunjukkan tanda reda apabila jumlah mangsa yang dipindahkan terus meningkat kepada 1,829 orang setakat jam 7 pagi ini.
Ia membabitkan mangsa banjir di 26 kampung di Kota Belud yang terjejas dan kini ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).
PPS itu ialah di Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi Dua, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan dan Dewan Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Said.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim, sehingga jam 7 pagi, semua mangsa berjaya dipindahkan secara berperingkat dengan menggunakan aset bot dan lori membabitkan agensi penyelamat ke PPS yang dibuka di daerah berkenaan.
"Sementara itu, sebuah lagi PPS di Dewan Kompleks Sukan Butong, Kota Belud juga sedia dibuka sekiranya mangsa banjir meningkat lagi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Semalam, hasil tinjauan di daerah Kota Belud mendapati hanya 120 orang mangsa banjir ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said sebelum angka itu meningkat pagi ini.
Terdahulu, dalam kenyataan media Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman pada Selasa, kerajaan negeri telah mengerahkan segala sumber yang perlu bagi membantu mangsa banjir di Kota Belud.
Jelasnya, satu Jawatankuasa Pemulihan Bencana Negeri sudah diaktifkan bagi membantu mereka yang terjejas selain membekalkan makanan, minuman dan keperluan asas kepada mangsa banjir terlibat.
Antara kampung yang terjejas teruk akibat banjir kali ini ialah di daerah Kota Belud adalah Kg Donggoi, Kg Marajah, Kg Gunring, Kg Sadok-Sadok, Kg Sembirai, Kg Lingkodon, Kg Linau, Kg Lebak Moyoh, Kg Bobot, Kg Suang Punggur, Kg Menunggui, Kg Song-Song, Kg Sangkir, Kg Karang Benai, Kg Bota Bungan dan Kg Kota Belud.
Setakat ini, sembilan batang jalan raya tidak dapat dilalui.
#banjir #Kota Belud #mangsa #pusat pemindahan #Sabah
;