Banjir: Kos baik pulih kerosakan lebih RM232 juta - Nanta

Abd Hadi Che Awang
Januari 12, 2023 17:29 MYT
Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menyaksikan penyerahan replika kunci oleh Nanta (kiri) kepada Menteri Kesihatan (kanan) pada majlis penyerahan Projek Hospital Pendang hari ini. - BERNAMA
PENDANG: Kos keseluruhan membaik pulih kerosakan infrastruktur susulan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini dianggarkan melebihi RM232 juta.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kos berkenaan turut merangkumi kerja pembaikan di tiga negeri yang paling teruk terjejas iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau memaklum, tempoh atau jangka masa bagi proses pembaikan itu adalah bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.
Tambahnya, kerja-kerja membaik pulih ketika ini dianggarkan siap sekitar 20 peratus dan ianya perlu dilaksanakan secara peringkat demi peringkat.
"Untuk kerugian sudah ada (dapatan), di Pantai Timur, kos (baik pulih adalah sekitar) RM196 juta, (ia adalah) untuk kerja baik pulih pavement, (bekalan) elektrik dan penyelenggaraan cerun dan sebagainya,
itu adalah nilai (jangkaan kos) untuk (tiga negeri di) Pantai Timur,
"Kalau di seluruh Semenanjung Malaysia, (Kementerian Kerja Raya) memerlukan RM232 juta anggarannya, (itu untuk) kita buat pembaikan akibat bencana banjir, cerun runtuh, dan pavement yang pecah.
"Dua minggu lepas (pihak Kementerian termasuk saya) ada lakukan lawatan ke negeri Terengganu dan Kelantan, (dapat dilihat) akibat (berlakunya) banjir, pavement banyak pecah," katanya.
Alexander berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang oleh KKR kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis.
Dalam perkembangan berasingan, beliau menyatakan bahawa sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan terus digunakan dengan perlunya penambahbaikan dibuat meskipun wujud pelbagai isu mengenainya sehingga kini.
Tambah Ahli Parlimen Kapit itu, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dijangka akan bertemu PLUS Malaysia Berhad (PLUS) esok, untuk berbincang dan mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah berkenaan.
#banjir #baik pulih infrastruktur #Alexander Nanta Linggi #Kementerian Kerja Raya
;