Banjir: Kluster Karak Setia, kluster pertama dikesan di PPS - Dr Noor Hisham

Ridauddin Daud
Disember 27, 2021 19:38 MYT
Menurut Dr Noor Hisham, sehingga 27 Disember 2021 jam 12 tengah hari, seramai 104 individu telah disaring dalam kluster itu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster komuniti pertama melibatkan penularan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan pada 27 Disember 2021 dan ia melibatkan sebuah PPS dalam daerah Bentong, Pahang.
Menurutnya, kes indeks bagi Kluster Karak Setia itu merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia yang dikesan positif pada 19 Disember 2021 melalui saringan individu bergejala.
“Kes mula bergejala demam, batuk, selesema, dan hilang deria bau sejak 18 Disember 2021.
"Sehingga 27 Disember 2021 jam 12 tengah hari, seramai 104 individu telah disaring dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI
Menurutnya, pecahan saringan bagi kluster tersebut adalah 10 kes dikesan positif dengan lapan kes baharu dilaporkan dan 94 individu pula disahkan negatif COVID-19.
“Punca penularan disyaki pergaulan dalam kalangan mangsa banjir di pusat penempatan tersebut.
“Kesemua kes positif dan kontak rapat telah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain.
“Pada 27 Disember 2021, sebanyak 99 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir,” ujarnya.
#Kluster baharu #PPS #Dr Noor Hisham Abdullah #mangsa banjir #Banjir 2021
;