Banjir Klang: Penduduk letih, tidak mampu tukar perabot setiap tahun
Ridauddin Daud
Disember 18, 2021 15:36 MYT
Disember 18, 2021 15:36 MYT
KLANG: Sudah tidak mampu untuk menukar perabot setiap tahun!
Itu luahan rasa penduduk Kampung Delek Baru, Klang yang ditemui pada Sabtu yang sejak malam tadi sibuk menceduk air keluar dari rumah mereka yang dilanda banjir.
Hujan lebat lebih sejam pada Jumaat malam menyebabkan banyak rumah di kampung itu dinaiki air dan lebih menyedihkan, sampai ke hari esok, banjir kelihatan masih belum surut.
Bagi Shahri Anuar Abdul Wahid, sejak lebih 20 tahun keluarganya berpindah di situ, air pernah naik sebelum ini, namun bencana kali ini paling buruk.
"Sebelum ini ada juga banjir. Masa keluarga saya pindah di sini pada tahun 2000, kerap juga banjir sebelum ada takungan. Setahun ada empat ke lima kali.
“Tapi ini yang paling teruklah selama 21 tahun duduk sini, menetap di sini. Paras air paling tinggi hari ini lah.
“Tak sempat ambil barang apa pun. Banyak kali dah jadi macam ini tapi nak buat macam mana. Reda sajalah,” katanya kepada Astro AWANI.
Tinjauan Astro AWANI mendapati kebanyakan rumah di kampung tersebut dinaiki air dan ramai penduduk dilihat sibuk membersihkan rumah mereka.
Ada rumah yang dinaiki air sehingga paras pinggang namun kebanyakannya ke paras buku lali, betis dan lutut.
Bagi penduduk, mereka sudah penat kerana masalah itu masih belum menemui jalan penyelesaian meskipun isu tersebut sudah berlarutan agak lama.
“Paling teruklah banjir ini. Tahun sebelum ini tidaklah banjir sangat pun, hanya setakat paras betis tapi sekarang dah sampai atas paha.
“Saya pun letih hari-hari nak mengemas bila banjir macam ini. Kalau kadang-kadang anak balik, dia boleh tolong tapi kalau anak tiada, saya sendirilah buat kerja,” kata seorang lagi penduduk, Joleha Yusop.
Banjir | Perkembangan di Klang
“Petang (semalam) sudah naik air. Kali pertama naik, sudah paras betis tapi lewat petang nampak surut, kita ingat makin baik, rupanya malam banjir datang balik... letih betul. Memang tak tidurlah dari malam tadi.
“Nak buat macam mana sudah memang begitu. Dah tak boleh buat apa...,” kata Zahid Yusop pula.
Meskipun sudah memasuki hari kedua, penduduk di kampung tersebut masih gundah kerana dikhabarkan hujan berterusan di kawasan itu untuk satu ke dua hari akan datang.
Apa yang membimbangkan mereka adalah fenomena air pasang yang mungkin menyebabkan banjir lebih teruk dan lebih lama masa diambil untuk surut sepenuhnya.