Banjir: KKR lulus peruntukan hampir RM43 juta baiki infrastruktur
Bernama
Februari 14, 2023 17:36 MYT
Februari 14, 2023 17:36 MYT
KUALA BERANG: Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan hampir RM43 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur, cerun dan jalan yang terjejas akibat bencana banjir, setakat ini.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata peruntukan berkenaan melibatkan enam negeri di tiga zon iaitu Zon Tengah Timur, Utara dan Selatan.
"Kelulusan itu bagi pembaikan dan penyelenggaraan di kawasan yang mengalami kerosakan serius dan memerlukan kerja (pembaikan) segera.
"Enam negeri terlibat ialah Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Johor dengan peruntukan terbesar melibatkan Kelantan dan Terengganu," katanya selepas Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Technologies Wilayah Timur di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KKR Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman serta Pengarah CIDB Terengganu Muhammad Rizuan Hamzah pada majlis graduasi yang menyaksikan seramai 142 pelatih menerima sijil tamat latihan kursus CIDB.
Abdul Rahman berkata KKR telah mengemukakan permohonan sebanyak RM300 juta untuk kos kerja-kerja membaik pulih keseluruhan jalan dan infrastruktur akibat banjir baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata laporan terperinci mengenai insiden tanah runtuh Batang Kali di Selangor dijangka diperoleh dalam masa empat bulan lagi.
Menurutnya, setakat ini anggaran kos untuk pembaikan cerun, infrastruktur juga belum dapat dipastikan kerana bergantung kepada laporan forensik.
"Keputusan forensik belum dapat sepenuhnya dan secara menyeluruh. Angka-angka yang kita akan baiki pun belum dapat dan tunggu laporan forensik," katanya.
-- BERNAMA