Banjir: Kita tahan sedih, mula dari bawah semula - Penduduk Kg Bukit Lanchong
Hasimi Muhamad
Disember 28, 2021 12:48 MYT
Disember 28, 2021 12:48 MYT
SUBANG JAYA: Hati siapa tidak remuk apabila mengenangkan harta benda hasil titik peluh sendiri, kini terpaksa dibuang akibat banjir.
Namun apa boleh buat, semua itu perlu ditelan demi meneruskan kehidupan.
Bagi Shabuddin Adnan, 71, mahu tidak mahu dia perlu bersedia untuk membina semula kehidupan walaupun terpaksa kembali bermula dari awal.
Katanya, semua harta benda dan kenderaan miliknya ditenggelami banjir di Kampung Bukit Lanchong dalam kejadian pada Sabtu lalu.
"Memang sedih harta sendiri, pencarian sendiri dari titik peluh kita kan... Tapi kalau difikir-fikir balik, bukannya kita seorang sahaja tapi satu kampung (dilanda banjir). Nak tak nak kita tahan sedih kita, dan kita gembira selalu. Tapi dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu.
"Saya rasa ramai juga yang macam saya ini (mempunyai semangat) tetapi mereka pun susah juga. Tetapi sebab ramai-ramai sekali kena banjir (mereka pendam), kita reda apa pemberian Allah," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Isnin.
Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia dan isterinya, Halijah Mat Rani, 56, bersyukur kerana terselamat dalam kejadian banjir besar itu.
Dia yang mengalami masalah kesihatan pada bahagian perut menambah, ketika kejadian, dia berada di Perak, sebelum bergegas pulang ke Kampung Bukit Lanchong selepas mendapat berita mengenai banjir.
Bagaimanapun, dia tidak boleh memasuki kawasan perumahan untuk mengambil barangan atau dokumen memandangkan keadaan paras air bahaya dan deras.
"Saya ini tidak sihat sudah setahun lebih, perut saya macam ada air, nak kencing itu memang susah la.
"Kalau dari segi bantuan, itu terserah kepada kerajaan memandangkan semua rakyat macam ini (ditimpa musibah banjir). Saya tidak boleh nak minta apa-apa lah," ujarnya.
Susulan keadaan kesihatan Shabuddin tidak mengizinkan, anak saudaranya, Najmul Hadi Zainal Abidin, 28, yang tinggal di Kuala Kangsar, Perak turut mengambil keputusan untuk membantu membersihkan kediaman.
Jelas Najmul, dia bersama emak dan abangnya sudah berkampung hampir seminggu di Kampung Bukit Lanchong bagi meringankan beban bapa saudaranya itu.
"Saya dengar berita ada banjir besar sini... tak sampai hati tengok bapa saudara pun sakit, kami dengan rela hati datang sini membantu.
"Bapa saudara pun tinggal dua, tiga orang sahaja. Jadi kami ambil masa sikit untuk membantu. Tak mampu (bantu) dengan wang ringgit, kami sumbangkan kudrat yang mampu," ujarnya.
Pekerja bengkel motosikal itu turut berharap agar bantuan dari segi peralatan elektrik dan keperluan barang dapur dapat diberikan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Malizi Mohd Ali, 52, berkata pihak berkaitan perlu giat turun padang untuk melihat sendiri keadaan mangsa banjir dan keperluan sebenar mereka dalam situasi sukar ini.
"Contoh banyak kereta terjejas, atau barang-barang rumah, semuanya rosak. Apa yang sempat diselamatkan hanya diri sendiri kerana air paras bumbung.
"Jadi yang berkenaan nak tolong, mungkin boleh datang sini kita bincang apa yang patut, dan bagi apa yang patut orang kampung ini nak. Kita bincang apa yang patut mereka nak tolong," jelasnya, yang tinggal di Lorong Haruan 2.
Penduduk di sekitar Lorong Haruan 1 dan 2 di kampung itu antara yang terjejas teruk dalam kejadian banjir pada Sabtu lalu susulan lokasi tersebut yang terletak berdekatan sungai.