Banjir: King Sing akui tidak menang tangan bantu penduduk Bintulu
Bernama
Februari 2, 2025 19:15 MYT
Februari 2, 2025 19:15 MYT
BINTULU: Sedih melihat pengundinya yang telah membuat persiapan untuk meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga, namun kini berdepan kesulitan dan dipindahkan akibat banjir, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau dan pasukannya sedang berusaha sedaya upaya untuk memberi bantuan bencana dan pemulihan.
Tiong berkata banjir yang berlaku terlalu besar hingga beliau dan pasukannya telah tidak menang tangan dalam membantu penduduk Bintulu dan kawasan Dewan Undangan Negeri Dudong.
"Banjir ini menjejaskan banyak kawasan dan ramai mangsa. Kami tidak menang tangan, keletihan dan ada kalanya hilang arah," katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau turut memohon maaf kepada penduduk kerana tidak dapat membalas ucapan Tahun Baharu Cina dan mesej-mesej prihatin berkaitan bencana itu secara peribadi.
"Saya telah menerima semua ucapan berkenaan serta amat menghargai keikhlasan dan kebaikan yang diberikan," katanya sambil menambah berkat doa orang ramai memberikan beliau kekuatan dan dorongan untuk menangani segala cabaran.
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah 'mengorbankan' sambutan Tahun Baharu Cina dengan turun padang ke kawasan terjejas bersama-sama pasukan penyelamat bagi membantu mangsa banjir.
Gambar memaparkan Tiong yang memakai kemeja-T dan seluar pendek dalam keadaan basah kuyup dan sejuk ketika membantu mangsa banjir di kawasannya tular menerusi media sosial.
Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, tindakan itu dilihat sekadar sebagai lakonan oleh Tiong, yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) untuk meraih populariti.
Ramai juga yang menangkis dakwaan itu dengan mengatakan Tiong dikenali disebabkan hubungan rapat beliau dengan rakyat selain sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu mereka.
"Anda Ahli Parlimen terbaik yang saya kenali dan Bintulu memiliki Dato' Seri Tiong King Sing... Semoga Tuhan sentiasa memberkati anda," kata Saharudeen Taha dalam hantaran menerusi Facebook.
Royston Sim dalam hantaran menerusi platform sama pula menyifatkan penduduk Bintulu bertuah kerana memiliki Ahli Parlimen yang prihatin seperti Tiong.
-- BERNAMA