Banjir kilat: Tiga sekeluarga bermalam di PPS

Sinar Harian
Jun 1, 2024 04:45 MYT
Anggota APM membantu mangsa banjir yang ditempatkan di Surau Parit Haji Abd Rahman yang dijadikan sebagai PPS di Pontian semalam. - Foto ihsan APM Pontian/Sinar Harian
PONTIAN: Tiga sekeluarga terpaksa bermalam di Surau Parit Haji Abd Rahman, di sini yang beroperasi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan, lewat petang semalam.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani setakat jam 12 tengah malam tadi, hanya satu PPS dibuka bagi menempatkan mangsa terlibat.
“PPS berkenaan telah menempatkan tiga sekeluarga berikutan air parit yang melimpah masuk ke dalam rumah mereka dipercayai akibat hujan lebat kira-kira dua jam pada lewat petang,” katanya.
Berdasarkan laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Sungai Ayer Hitam di Kampung Paya Embun dan Sungai pulai di Kampung Ulu Pulai dilaporkan berada pada paras normal apabila masing-masing mencatatkan bacaan 3.85 meter dan 0.49 meter.
Sementara itu, tiada amaran ribut petir dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi negeri Johor. - Sinar Harian
#PPS #banjir #banjir johor #hujan lebat
;