Banjir kilat: SK Nanga Budu ditutup selepas air naik ke paras dada

Rudi Affendi Khalik
Disember 13, 2024 11:30 MYT
Pemantauan masih dilakukan di sekitar kawasan sekolah kerana paras air menunjukkan trend meningkat. - Foto JBPM Sarawak
SARATOK: Sebuah sekolah rendah di Krian di sini terpaksa ditutup pagi tadi setelah sekolah tersebut dinaiki air, berikutan kejadian banjir kilat.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh guru sekolah SK Nanga Budu, sekitar jam 7.38 pagi, dengan air di kawasan rendah telah naik ke paras dada lelaki dewasa.
“Sepasukan anggota telah dikejarkan ke lokasi dan mendapati kawasan yang terlibat adalah bangunan dewan sekolah serta bangunan bagi prasekolah.
“Kesemua mangsa yang terlibat iaitu 26 murid, 18 pekerja sekolah dan enam pekerja swasta kemudian berpindah ke tempat tinggi sebelum sekolah tersebut ditutup.
Pasukan bomba kata Ling Hii, masih melakukan pemantauan di sekitar kawasan sekolah kerana paras air menunjukkan trend meningkat.
#banjir kilat #SK Nanga Budu #JBPM #paras dada
;