Banjir kilat sememangnya boleh dielak jika.....

Rahimah Abdullah
Disember 15, 2018 18:00 MYT
Seorang lelaki terperangkap selepas keretanya ditenggelami air sedalam hampir satu meter akibat banjir kilat di Terowong Jalan Tun Razak pada November lalu. - Gambar fail
Banjir kilat yang kerap berlaku terutama di ibu negara dan Lembah Klang mampu dielakkan jika sistem takungan berfungsi dengan baik, ujar Pakar Hidraulik dan Hidrologi, Datuk Dr Azuhan Mohamed.
Jelasnya, pembinaan Smart Tunnel misalnya, tidak mampu memberi penyelesaian sepenuhnya kepada masalah banjir kilat.
"Sebagai contoh, kita ada Smart Tunnel. Memang Smart Tunnel itu bagus. Namun, apa yang tidak bagus, sekiranya hujan turun di bawah daripada Smart Tunnel tersebut.
"Smart Tunnel bermula dari Ampang. Jika hujan turun di bawahnya, ia tidak berfungsi lagi," katanya dalam satu temubual dengan Astro AWANI.
ARTIKEL BERKAITAN: Banjir kilat di KL, ini puncanya...
Katanya lagi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menetapkan syarat yang ketat terhadap pemaju projek bagi memastikan pembangunan dilakukan tidak akan menyebabkan banjir.
"Banjir kilat di Puchong (Oktober lalu) misalnya. Itu ada kaitan dengan pembangunan. PBT perlu ketatkan syarat kepada pemaju, iaitu mesti ada syarat dinyatakan, dan kalau tidak dipatuhi kena kompaun yang tinggi.
"Kenapa mesti kita nak kerajaan buat saluran yang baharu, sedangkan itu berpunca daripada aktiviti pembangunan tersebut," tambahnya.
Bulan lalu, hujan lebat lebih dua jam yang melanda ibu negara menyebabkan beberapa kawasan dan laluan terjejas akibat banjir kilat.
Ia turut mengakibatkan air bertakung di Smart Tunnel, di Jalan Tun Razak menghala ke KLCC dan Jalan Loke Yew.
#air #Ampang #Astro #Astro Awani #banjir #banjirkilat #kerajaan #Klang #Puchong #Smart Tunnel
;