Banjir kilat sekitar KL, beberapa kenderaan ditenggelami air

Astro Awani
Oktober 1, 2019 00:45 MYT
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memeriksa kawasan di sekitar flat PKNS Jalan Tun Razak berikutan hujan lebat yang turun sejak awal petang Selasa. - Foto BERNAMA
Hujan lebat hampir dua jam menyebabkan kawasan sekitar flat PKNS di Jalan Tun Razak di sini dilanda banjir kilat petang Selasa.
Banjir kilat yang melanda menyebabkan beberapa kenderaan di parkir kawasan flat berkenaan ditenggelami air.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang dan menghantar sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak di lokasi kejadian.
Sebaik tiba, pihak bomba mendapati air banjir naik setinggi 1 meter akibat masalah sistem perparitan.
Menurut penduduk setempat, arus air yang deras itu juga didapati naik dalam tempoh 30 minit.
Orang ramai dilihat sibuk mengeluarkan kenderaan masing-masing daripada kawasan flat tersebut ke kawasan yang lebih tinggi.
Banjir kilat itu bagaimanapun difahamkan kembali surut tidak beberapa lama kemudian.
#banjir kilat #Flat PKNS #hujan lebat #Jalan Tun Razak #JBPM Kuala Lumpur #kenderaan ditenggelami air
;