Banjir kilat: Satu PPS dibuka di Johor

Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 11, 2022 07:45 MYT
Seramai 17 mangsa dari 3 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara pada jam 10.30 malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, seramai 17 mangsa dari 3 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan.
Ini selepas kediaman mereka di Kampung Paya Kenangan dinaiki air.
"Kejadian banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat melebihi dua jam sejak 7 malam yang menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Selain kawasan Kampung Paya Kenangan, terdapat beberapa kawasan rendah turut dinaiki air, namun tiada PPS dibuka di kawasan itu.
Antaranya 10 buah rumah di Kampung Pasir di Tampoi yang paras air naik sehingga paras kira-kira 0.5 meter.
"Selain hujan lebat, sistem perparitan juga dikenalpasti sebagai punca berlakunya banjir kilat di kawasan Kampung Pasir di Tampoi," katanya.
#banjir kilat #PPS SK Bukit Mutiara #Kampung Paya Kenangan #hujan lebat
;