Banjir kilat Rabu lalu yang terburuk di Ringlet - Penduduk

Bernama
November 9, 2014 16:11 MYT
Penduduk sekitar Ringlet menyifatkan banjir kilat tahun ini merupakan yang terburuk pernah berlaku. -Gambar fail
Penduduk di sekitar Pekan Ringlet menyifatkan banjir kilat tahun ini merupakan yang terburuk pernah berlaku berbanding bencana masa lepas termasuk tahun lalu akibat pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar di Lembah Bertam.
Seorang pemandu kelindan lori sayur-sayuran, K.Kumaresan, 40, yang sudah 26 tahun menetap di Ringlet menyifatkan banjir kali ini amat teruk kerana air naik sehingga mencecah paras pinggang.
"Sebelum ini pun ada banjir juga tetapi tidak teruk seperti apa yang berlaku di sini sekarang," katanya ketika ditemui Bernama di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet, hari ini.
Menceritakan detik cemas ketika kejadian, Kumaresan berkata air sungai masuk ke dalam rumahnya sekelip mata, namun yang terlintas di dalam fikirannya ketika itu adalah untuk menyelamatkan empat ahli keluarga yang lain.
"Saya bawa mereka (keluarga) ke tempat tinggi manakala dokumen penting tidak dapat diselamatkan kerana dibawa arus deras," katanya.
Bagi mengelak bencana daripada berulang, Kumaresan berharap pihak berkuasa dapat membesarkan aliran Sungai Ringlet secepat mungkin.
Harapan sama turut disuarakan seorang suri rumah, Kalsom Abdul Rashid, 57, yang berkata paras air Sungai Ringlet naik adalah disebabkan aliran yang kecil selain tidak dapat menampung limpahan dari air Sungai Bertam terutama ketika hujan.
Ketika kejadian, beliau sedang menggosok baju dan tidak sedar air sungai telah masuk ke bahagian dapur dan ruang tamu, katanya.
"Saya bergegas memanggil anak dan suami saya supaya menyelamatkan barang peribadi sebelum hanyut," kata Kalsom yang memberitahu dia hampir pitam apabila melihat keadaan rumahnya ditenggelami air.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.
Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam.
Dalam kejadian itu, lima orang terkorban manakala lima lagi cedera.
#banjir #Empangan Sultan Abu Bakar #lembah bertam #lumpur #ringlet
;