Banjir kilat: PPS SK Sungai Kechil ditutup, mangsa banjir dibenarkan pulang

Adie Sufian Zulkefli
Disember 14, 2021 15:28 MYT
Kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi proses pembersihan selepas air surut sepenuhnya. - Foto APM
BANDAR BAHARU: Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Ulu, Bandar Baharu yang menempatkan 23 mangsa banjir kilat daripada 11 keluarga ditutup sepenuhnya hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, PPS itu ditutup pada jam 2 petang hari ini.
"Keadaan cuaca kembali cerah dan air sudah surut sepenuhnya.
"Aliran air sungai berdekatan mengalir perlahan dan paras air di luar pekarangan rumah mangsa juga surut malah paras air sungai juga kembali ke paras normal.
“Kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi proses pembersihan selepas air surut sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Hujan lebat yang bermula jam 3.15 petang Isnin (3 Disember) menyebabkan beberapa kawasan di Bagan Samak, Bandar Baharu dilanda banjir kilat apabila kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Antara kampung yang terbabit adalah di Parit Nibong, Taman Cahaya Nilam, Asam Kubang dan Sungai Tepus.
#Pusat Pemindahan Sementara #SK sungai kechil #mangsa banjir #PPS
;