Banjir kilat perlu ditangani dengan teliti, beri kesan pada ekonomi
Madiha Abdullah
April 25, 2022 05:15 MYT
April 25, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Banjir kilat seumpama yang berlaku petang Isnin berpotensi memberikan kesan jangka panjang kepada ekonomi jika tidak ditangani dengan teliti.
Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, situasi itu akan memberi kesan kepada operasi WTC khususnya, dalam menggerakkan ekonomi acara perniagaan.
"Hal ini sangat serius kerana ia menjejaskan imej, penjenamaan, keselamatan khususnya dalam sistem ekonomi berteras business event industry.
"Kami di WTC ada wujudkan sistem penggera apabila aliran air meningkat, semua akan dimaklumkan dan sistem pengepam akan mengepam air keluar sebagai langkah berjaga-jaga.
"Harapan saya kerajaan dapatkan wujudkan sistem penggera kebangsaan sebab banjir kilat sudah terlalu kerap berlaku dan ia menimbulkan musibah.
"Saya berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana keluarkan batu-batu dari sungai yang dekat dengan WTC. Projek River of Life kena diperhalusi dengan mendalam dan dilakukan audit bagi memastikan sistem penyelenggaraan sungai dilakukan berteusan.
"Ini harus digerakkan oleh jawatankuasa di peringkat kerajaan," katanya ketika ditemui wartawan Astro AWANI.
WTC merupakan antara lokasi yang terjejas banjir kilat yang melanda petang Isnin di Lembah Klang. Lebih memburukkan keadaan, lokasi itu baru sahaja selesai mengadakan acara jualan sempena hari raya, Starvendor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Starvendor, Ifa Raziah mengakui terkejut dan tidak dapat berbuat apa-apa apabila air naik dalam tempoh masa yang sangat singkat.
"Memang terkejut, kami di dalam sedang sibuk mengemas dan saya dapat tahu hujan turun jam 2 petang.
"Tetapi jam 3 petang, air sudah naik, banyak kereta vendor terperangkap dan saya turun membawa kru untuk memberi bantuan.
"Kasihan sangat, ada yang sedang tidur kepenatan sebab baru habis acara yang berlangsung selama 75 jam, jadi begini pula," katanya
Beberapa jalan utama di ibu negara dilanda banjir kilat pada petang Isnin. Ia susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang selama beberapa jam sejak awal tengah hari Isnin.
Menurut laporan Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebanyak 14 laluan utama di ibu negara dinaiki air.