Banjir kilat: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dinaiki air

Dewi Nur Harasha Alias
September 24, 2022 11:39 MYT
Antara kawasan yang dinaiki air di LTAPP hari ini. - Facebook Emily Ismail/PenangToday Community
BAYAN LEPAS: Balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, dilanda banjir kilat susulan hujan lebat awal pagi Sabtu.
Kejadian tersebut tular di media sosial menyaksikan kawasan berkenaan dinaiki air dan pekerja sibuk melakukan kerja pembersihan sebaik banjir surut tidak lama kemudian.
Menerusi video tular tersebut, kelihatan pintu masuk di bahagian bawah balai ketibaan tersebut dinaiki air separas buku lali.
Difahamkan, beberapa penerbangan dari Subang, Langkawi dan Kuala Namu, Sumatera utara dilencongkan berikutan cuaca buruk di kawasan LTAPP.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Hubungan Kerajaan Air Asia (Utara) Kenneth Tan ketika dihubungi memaklumkan tiada penerbangan dari syarikat itu ditunda susulan banjir kilat yang melanda kawasan itu.
Beliau berkata kejadian banjir kilat di situ bukan kali pertama berlaku namun berharap insiden sedemikian tidak berulang di masa depan.
Jelasnya, sekiranya kejadian itu tidak diatasi segera ia menjejaskan sektor pelancongan negeri dan juga imej Pulau Pinang.
Susulan itu, beliau menggesa kerajaan negeri dan pihak berkaitan menubuhkan satu jawatankuasa bagi memantau kejadian banjir kilat di LTAPP.
Terdahulu, hujan lebat hampir dua jam pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang terlibat adalah di Bayan Lepas, Bayan Baru dan Bukit Jambul.
#LTAPP #banjir kilat #Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang