Banjir kilat landa Taman Sungai Duri, 70 keluarga dipindahkan

Astro Awani
September 10, 2020 00:03 MYT
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 malam. -Gambar hiasan
Hujan lebat lebih empat jam sejak petang tadi di Pulau Pinang menyebabkan Taman Sungai Duri, Simpang Ampat, di sini dilanda banjir kilat sehingga 70 kediaman penduduk ditenggelami air lebih satu meter.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Pooh berkata, mangsa terlibat dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir (PPB) di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Widuri, Simpang Ampat.
"Pihak kami masih mendapatkan jumlah sebenar mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan tersebut." katanya ketika dihubungi malam ini.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 malam tadi berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamat serta memindahkan mangsa yang terperangkap.
Semua mangsa dipindahkan terlebih dahulu ke surau Sungai Duri Indah dekat yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
Turut berada di lokasi kejadian ketika ini adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
#banjir #banjir kilat #bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #mangsa #Nibong Tebal #PDRM #polis #Polis Diraja Malaysia #PPS #pusat pemindahan #sekolah #simpang ampat #taman sungai duri
;