Banjir kilat landa beberapa kawasan di daerah Kinta

Abd Razak Mohd Ali
November 18, 2020 05:00 MYT
Kejadian banjir kilat di sebuah pusat membeli belah di Falim turut menyebabkan beberapa buah kereta hampir ditenggelami banjir. -Gambar/ Bernama
IPOH: Hujan lebat sejak kira-kira jam 7 malam tadi menyebabkan beberapa buah kampung di daerah Kinta dilanda banjir kilat menjelang tengah malam.
Hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Pari naik lalu melimpah ke kawasan berhampiran.
Bagaimanapun, sehingga jam 12 malam, tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, antara kampung itu ialah Kampung Sri Aman Fasa 2; Kampung Sri Kinta; Kampung Pengkalan Gate; Kampung Temiang/Tebing Tinggi; Buntong, Lorong Anandu dan Kampung Tersusun Jalan Sungai Pari; Kampung Kuala Pari dan Kampung Pasir Putih Tambahan.
Beberapa kawasan lain dilaporkan turut dinaiki air, termasuk di Ulu Chemor, Manjoi dan Menglembu dan Falim.
Kejadian banjir kilat di sebuah pusat membeli belah di Falim turut menyebabkan beberapa buah kereta hampir ditenggelami banjir.
Sehingga jam 12 malam, hujan masih turun tetapi tidak lebat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya masih melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
#banjir kilat #Kinta #Ipoh #Chemor #APM #hujan lebat #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #pusat pemindahan
;