Banjir kilat landa beberapa kampung di DUN Changkat Jering

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 19, 2021 08:35 MYT
Ahmad Saidi malam tadi sempat bertanya khabar serta meninjau keperluan mangsa banjir di kawasan DUN Changkat Jering. - Foto Facebook Ahmad Saidi Mohamad Daud
TAIPING: Beberapa buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, dekat sini dilanda banjir kilat awal pagi ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, antara kampung yang terlibat ialah Kampung Paya, Kampung Pak Darus, Changkat Jering (Kilang Papan), Kampung Sungai Lidin dan Kampung Dusun Madinah.
Menurutnya, banjir berpunca dari hujan turun tanpa henti dari tengah hari semalam hingga malam tadi selain parit dan longkang yang tersumbat.
“Jam 1.40 pagi, saya masih bersama ahli keluarga besar yang sedang diuji dengan musibah banjir,” katanya dalam hantaran di dalam akaun Facebook miliknya awal pagi ini.
Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak sempat singgah dan bertanya khabar serta keperluan segera selain memastikan mangsa banjir punyai tempat tidur dan tempat berteduh.
“Insya-Allah, esok awal pagi akan tiba bantuan segera dari Pusat Khidmat Changkat Jering (PKCJ) dan tengahari juga akan ada bantuan susulan.
“Semoga semua yang ditimpa dengan bencana ini sabar, redha dan dipermudahkan urusan,” ujarnya.
#mangsa banjir #banjir #Taiping #hujan #Ahmad Saidi Mohamad Daud #Changkat Jering #bantuan
;