Banjir kilat, kemiskinan bandar perlu diberi perhatian Datuk Bandar KL - Annuar
Wan Syamsul Amly
Oktober 2, 2020 16:21 MYT
Oktober 2, 2020 16:21 MYT
KUALA LUMPUR: Isu banjir kilat dan bandar selamat antara perkara yang perlu diberi keutamaan oleh Datuk Mahadi Che Ngah yang baru dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, selain itu, penekanan juga harus diberi pada isu kemiskinan bandar dan kesan COVID-10 kepada warga kota.
"Antara perkara lain ialah menyempurnakan penggubalan dasar perumahan di bandar raya Kuala Lumpur kerana kita rasakan ada aspek perlu diberi perhatian, antaranya tahap rumah mampu milik yang benar-benar mampu dimiliki.
"Juga supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina rumah bandar raya di setiap kawasan Parlimen bagi memberi peluang pekerja pendapatan rendah menyewa unit rumah yang mereka mampu.
"Itu sebahagian perkara, ada senarai panjang. Datuk Bandar mampu beri perhatian kepada perkara tersebut," katanya semasa sidang media selepas Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, kata Annuar, isu pembangunan Kampong Bharu dan kampung tradisi juga akan menjadi antara keutamaan Mahadi selepas ini.
Mahadi yang berkelulusan ijazah dalam bidang Perancang Bandar dan Wilayah memulakan kerjaya di DBKL sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada April 1983 sebelum bersara wajib pada September 2019.
Sementara itu, Mahadi mengakui, beliau sudah biasa dengan permasalahan warga kota dan akan memberi tiga perkara utama dalam tugasan awalnya sebagai Datuk Bandar.
Jelasnya, setiap isu berkenaan akan cuba diselesaikan selain fokus yang diberi Menteri Wilayah Persekutuan sendiri.
"Daripada isu itu, saya boleh simpulkan antara masalah yang akan diselesaikan segera ialah masalah banjir kilat, kesesakan lalu lintas dan urus tadbir ibu kota.
"Ia antara perkara selain (isu) yang diberi menteri. Pada amnya ini yang diletakkan sebagai fokus awal bandaraya," katanya.
Mahadi dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa satu Oktober bagi menggantikan Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang tamat perkhidmatan pada 30 September.
#Annuar Musa
#Tan Sri Annuar Musa
#banjir
#Parlimen
#rumah
#Kuala Lumpur
#Datuk Bandar
#Mahadi Che Ngah