Banjir kilat: Jumlah mangsa dipindahkan ke PPS meningkat kepada 451

Abd Razak Mohd Ali
September 8, 2023 06:15 MYT
Hujan berterusan selama lebih dua jam menyebabkan air Sungai Behrang melimpahi ke kawasan rumah berhampiran. - Foto fail/JBPM
TANJUNG MALIM: Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Chinggong, Behrang Ulu, dekat sini, meningkat kepada 451 menjelang tengah malam tadi.
Mangsa yang terlibat adalah dari 91 buah keluarga di sekitar kawasan berkenaan.
PPS itu dibuka pada jam 7.30 malam.
Terdahulu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim memberitahu, pihaknya menerima panggilan dari ketua kampung mengenai kejadian banjir itu pada jam 6.27 petang.
“Hujan berterusan selama lebih dua jam menyebabkan air Sungai Behrang melimpahi ke kawasan rumah berhampiran,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, keadaan perkarangan rumah penduduk telah surut sepenuhnya dan jalan raya di kampung berkenaan masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Bagaimanapun, katanya, mereka masih membuat pemantauan kerana cuaca masih mendung.
#banjir kilat #PPS #Sungai Behrang #hujan berterusan
;