Banjir kilat: Gerak kerja bermula tahun lepas, elak lebih teruk - Datuk Bandar
Aida Aziz
Januari 23, 2022 09:10 MYT
Januari 23, 2022 09:10 MYT
IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah mengerakkan kerja-kerja penambahbaikan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir sejak tahun lepas, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Rumaizi berkata, langkah awal itu berjaya mengelakkan kesan lebih teruk akibat banjir kilat di beberapa kawasan di Ipoh.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya mengambil maklum rungutan dan aduan orang ramai, di samping akan membuat tindakan susulan bagi mengatasi masalah tersebut.
"Dalam proses penambahbaikan itu, kita sudah mulakan (kerja mengorek dan bersih longkang, pendalaman sungai) dari tahun sudah.
"Kita buat secara berperingkat, tetapi mungkin ada silapnya dan hujan pun lebat pada waktu itu.
"Tetapi saya rasa ada kesan juga apabila kita buat awal (kerja-kerja kurangkan risiko banjir), kesannya tidak seteruk yang diramalkan," katanya.
Rumaizi berkata demikian selepas majlis perasmian Think City Ipoh di Medan Selera Dato' Tahwil Azar, di sini, malam tadi, mengulas isu banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Ipoh, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.
Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menyarankan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT), Ahli Majlis dan penduduk setempat mengambil peranan masing-masing.
Dalam pada itu, Rumaizi berharap isu tersebut dapat diatasi bersama, bukan hanya di pihak MBI.
"Memang ada banjir kilat tetapi pendek saja (tempohnya) walaupun diramalkan bulan Januari dan Februari Ipoh akan lebih teruk (banjir) sebenarnya.
"Bagaimanapun kita akan ambil tindakan sebagaimana yang dikatakan Menteri Besar tempoh hari. Saya harap tindakan ini bukan hanya di pihak MBI saja tetapi kerjasama semua," katanya lagi.
Terdahulu, Nolee Ashilin merasmikan Projek Light yang merupakan inisiatif lanjutan daripada program Art In The City oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Think City.
Projek tersebut merupakan instalasi seni oleh Liu Cheng Hua, artis pelbagai disiplin kelahiran Taiping, yang terpilih menjayakan projek di tapak Medan Selera Dato’ Tahwil Azhar, Ipoh.