Banjir kilat: Enam mangsa di Kampung Sahom dipindahkan ke tempat selamat
Abd Razak Mohd Ali
Januari 11, 2023 22:25 MYT
Januari 11, 2023 22:25 MYT
KAMPAR: Hujan lebat petang tadi menyebabkan enam penduduk di Kampung Sahom, di sini terpaksa dipindahkan ke tempat lebih selamat.
Banjir kilat menyebabkan hampir 10 buah rumah di kampung berkenaan terjejas selepas paras air Sungai Rias naik mendadak.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.24 petang.
Menurutnya, kesemua penghuni rumah tersebut berada di seberang sungai yang dihubungkan oleh tiga buah jambatan.
“Jarak di antara jambatan pertama ke jambatan kedua adalah kira-kira 300 meter manakala dari jambatan kedua ke jambatan ketiga ialah sejauh satu kilometer,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Menurut jurucakap itu lagi, semasa waktu puncak kejadian, paras air sungai dilaporkan setinggi tujuh meter.
“Proses pemindahan mangsa ke tempat selamat menggunakan tali dan peralatan menyelamat di air telah dilakukan oleh anggota bomba,” ujarnya.
Katanya, mangsa terdiri daripada tiga wanita dewasa, seorang lelaki dewasa, dan dua kanak-kanak perempuan.
Operasi yang melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar dan BBP Gopeng diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba II Sabarodzi Nor Ahmad.
Anggota bomba kemudiannya terus melakukan pemantauan di kawasan kejadian.