Banjir kilat: Empat keluarga di Changkat Jong dipindahkan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 19, 2021 08:42 MYT
Menurut bomba, hujan yang berterusan menyebabkan paras air naik sekitar 0.3 meter di Batu 8, Changkat Jong, malam tadi. - Foto JBPM Perak.
TELUK INTAN: Hujan berterusan beberapa jam menyebabkan berlaku banjir kilat di Lorong Kampung Kedah, Batu 8, Changkat Jong, dekat sini, malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.19 malam.
Katanya, pada mulanya, beberapa mangsa bertindak berpindah ke rumah jiran dan sanak saudara.
Bagaimanapun, hujan yang berterusan menyebabkan paras air naik sekitar 0.3 meter dan 11 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan sementara ke pusat pemindahan sementara di Dewan Changkat Jong.
“Dilaporkan keadaan masih hujan di sekitar Teluk Intan dan pihak bomba masih membuat pemantauan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Menurut jurucakap itu, pihak bomba terus membuat pemantauan untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.
#hujan lebat #Changkat Jong #banjir Perak #pusat pemindahan
;