Banjir kilat: Dua kampung di Kamunting dinaiki air, sebuah PPS dibuka
Abd Razak Mohd Ali
Mac 25, 2023 23:41 MYT
Mac 25, 2023 23:41 MYT
TAIPING: Hujan lebat yang turun lebih dua jam petang tadi menyebabkan dua buah kampung di Kamunting, dekat sini, dilanda banjir kilat.
Dua kampung itu ialah Kampung Batu 5 dan Kampung Sungai Relong.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting, Pegawai Bomba Kanan II Jamil Mat Isa berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Kampung Batu 5, pada 8.35 malam.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati terdapat 20 hingga 30 buah rumah telah dinaiki air akibat daripada hujan lebat yang berlaku pada sebelah petang.
“Terdapat beberapa mangsa telah dipindahkan ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurutnya, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di kampung berkenaan dan operasi menyelamat masih dilakukan.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Daerah Taiping berkata, pihaknya menerima panggilan dari Ketua Kampung, Kampung Sungai Relong mengenai banjir yang berlaku pada 8.45 malam.
Menurutnya, anggota yang tiba dilokasi telah membuat pemantauan dan penilaian risiko di kawasan banjir.
Katanya, mereka seterusnya membuka PPS di Dewan Orang Ramai kampung berkenaan untuk mendaftar masuk mangsa.
Menurutnya, setakat ini 60 mangsa dari 14 keluarga telah dipindahkan ke PPS itu dan cuaca dilaporkan tidak hujan.