Banjir kilat di Pulau Pinang, dua PPS dibuka

Sinar Harian
Februari 4, 2023 10:20 MYT
Dua PPS dibuka untuk menempatkan 59 mangsa daripada 17 keluarga di Tasek Gelugor dan Jawi. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua lokasi berbeza di Tasek Gelugor dan di Jawi bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat pada Jumaat.
Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, PPS pertama dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakap Indah, Sungai Jawi pada jam 10 malam manakala PPS kedua dibuka di Dewan Komuniti Kubang Menerong, Tasek Gelugor pada jam 11 malam.
Menurutnya, kedua-kedua PPS tersebut dibuka bagi menempatkan 59 mangsa yang terdiri daripada 17 keluarga.
"PPS di SK Bakap Indah, sehingga jam 2 pagi tadi (Sabtu), kita menempatkan lapan keluarga yang terdiri daripada 13 orang dewasa, lapan kanak-kanak serta tiga warga emas menjadikan jumlah keseluruhan adalah 21 orang.
"Manakala di Dewan Komuniti Kubang Menerong pula, sehingga jam 12 tengah malam, sebanyak sembilan keluarga dipindahkan ke situ melibatkan 38 orang. Mereka adalah 19 orang dewasa, 11 kanak-kanak dan lapan warga emas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, sehingga pagi Sabtu, hanya PPS dibuka dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Tambah beliau lagi, kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan dipantau oleh petugas PPS yang bertugas di kedua-dua lokasi berkenaan.
Dalam kejadian pada Jumaat, beberapa kawasan di Seberang Perai dinaiki air selepas hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang.
Antara kawasan yang dinaiki adalah Jalan Sungai Baong, Jalan Sungai Duri, Relau dan Sungai Bakap dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
Selain itu, beberapa kawasan dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) juga dilanda banjir kilat antaranya Bertam dan Tasek Gelugor. -Sinar Harian
#banjir #banjir kilat #Phee Boon Poh #PPS
;