Banjir kilat di Kuala Pilah, PPS dibuka

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 9, 2022 19:45 MYT
Bencana banjir kilat ini melibatkan tiga buah rumah di Kampung Tanjung Jati dan Kampung Tolok Gentam. - Foto JBPM
KUALA PILAH: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula dibuka di Kuala Pilah susulan banjir kilat yang melanda dua kawasan kampung di daerah itu, petang tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, PPS berkenaan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pilah dan menempatkan satu keluarga.
“Bencana banjir kilat ini melibatkan tiga buah rumah di Kampung Tanjung Jati dan Kampung Tolok Gentam yang mana mangsa yang terjejas berpindah ke rumah sanak saudara terdekat.
“Bagaimanapun sebuah PPS diaktifkan petang ini selepas dua mangsa iaitu wanita berusia 30-an dan warga emas berusia 60-an ditempatkan di situ,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut kenyataan itu, pemantauan yang dilakukan mendapati, trend air sungai yang meningkat selain pintu air dibuka menyebabkan kejadian banjir kilat itu berlaku.
“Keadaan cuaca di lokasi tidak hujan dan mendung, tetapi air di Sungai Muar meningkat naik disebabkan pintu air Empangan Terachi dibuka.
“Air sungai kemudian telah melimpah di kawasan halaman beberapa rumah di dua kampung itu setinggi kira-kira dua kaki,” tambahnya.
Bagaimanapun, cuaca di kawasan berkenaan kekal cerah selain keadaan banjir kilat juga terkawal.
#banjir kilat #Kuala Pilah #PPS dibuka #Bomba Negeri Sembilan
;