Banjir kilat di KL, ini puncanya...
Sinar Harian
November 12, 2018 14:14 MYT
November 12, 2018 14:14 MYT
Banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur semalam adalah disebabkan taburan hujan luar biasa dan sistem perparitan tersumbat akibat kerja-kerja pembinaan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata ada banyak projek pembangunan sedang berjalan dan beliau mengakui agak sukar untuk sentiasa memantau semuanya.
“Banjir itu berlaku kerana perparitan tersumbat, dihalang antaranya disebabkan bahan pembinaan.
“Tapi saya rasa semalam hujan agak luar biasa. Saya tak dapat lagi laporan tapi berdasarkan maklumat saya terima, hujan dua jam lebih.
“Sepatutnya perparitan kita masih boleh tampung kerana rekaannya adalah untuk 100 tahun, semuanya telah dinaik taraf,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga akan mengawasi tapak projek dengan lebih teliti dan akan memikirkan cara untuk mendenda kontraktor sekiranya terbukti kerja-kerja mereka menyekat saluran air.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ada pihak mendakwa disebabkan banyak pembangunan menyebabkan perparitan tersumbat dan berlaku banjir kilat semalam.
“Tapi kita kena selidik dulu. Kita nak tengok apa isu sebenarnya, kalau ia melibatkan pemaju, pembinaan maka KPKT harus semak perundangan dan akta-akta yang perlu disemak.
“Ia untuk kuatkuasakan lagi undang-undang agar pihak terbabit tidak cuai dalam proses buat pembangunan, tidak cuai untuk pastikan program begini tidak berlaku,” ujarnya.
Hujan lebat lebih dua jam yang melanda ibu negara semalam menyebabkan beberapa kawasan dan laluan terjejas akibat banjir kilat.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood berkata hujan lebat bermula kira-kira 4 petang itu mengakibatkan air bertakung di terowong Smart, di Jalan Tun Razak menghala ke KLCC dan Jalan Loke Yew.
Katanya Jalan Wirawati, Jalan Pudu Ulu, Jalan Pudu Perdana, Jalan Cheras dan Jalan Kepong turut terjejas akibat banjir kilat.