Banjir kilat di Gua Musang, limpahan air sungai naik mendadak
Muhafandi Muhamad
Januari 3, 2021 07:21 MYT
Januari 3, 2021 07:21 MYT
GUA MUSANG: Hujan berlarutan sejak pagi Ahad menyebabkan beberapa kawasan rendah dan jalan perhubungan di sini mula dinaiki air pada Ahad.
Antaranya termasuk laluan berhampiran kawasan sungai seperti di Kampung Kolam Mas, Kampung Batu 1, Bandar Lama Gua Musang, Kampung Baru Hilir, kawasan perindustrian Ladang Chin Teck, Kawasan Industri dan Kampung Kerinting.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, DSP Sik Choon Foo berkata, banjir kilat yang berlaku itu disebabkan limpahan air dari sungai yang meningkat secara mendadak.
Katanya, sejak pukul 11.30 malam tadi, satu pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1.
Menurutnya, 42 orang mangsa melibatkan 8 keluarga ditempatkan di sekolah itu.
Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) beberapa agensi lain turut membantu iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).