Banjir kilat di Gerik, kedai, kenderaan terjejas
Aida Aziz
Mei 2, 2024 05:10 MYT
Mei 2, 2024 05:10 MYT
GERIK: Hujan lebat berterusan menyebabkan berlaku banjir kilat serta air melimpah masuk ke dalam beberapa buah kedai di pekan Gerik di sini, malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Perak, kejadian yang berlaku sekitar pada jam 7.30 malam turut menyebabkan kenderaan terkandas.
"Hujan lebat turut menyebabkan air longkang melimpah ke jalan raya di pekan Gerik, air juga memasuki beberapa kedai berhampiran tempat kejadian.
"Empat anggota APM Hulu Perak menuju ke lokasi bagi memantau dan membuat penilaian risiko banjir.
"Didapati air limpahan dari longkang turut memasuki lima kedai berhampiran dan paras air dianggarkan 0.2m hingga 0.5m," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sehubungan itu, katanya, APM Hulu Perak bersama polis Gerik mengawal tempat kejadian dan membantu memindahkan kenderaan orang awam yang terperangkap di lokasi banjir.
"Sekitar 8.45 malam, hujan berhenti dan banjir mulai surut, pihak APM akan mengemaskini laporan dari semasa ke semasa," katanya lagi.
Ujarnya lagi, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka setakat ini susulan bencana itu.