Banjir kilat: Beberapa kawasan di Sungai Siput dinaiki air lebih satu meter

Abd Razak Mohd Ali
Mac 13, 2022 21:19 MYT
Anggota JBPM melakukan tinjauan dan kerja-kerja menyelamat ekoran kejadian banjir kilat di Taman Kledang, Sungai Siput, awal pagi ini. --fotoBERNAMA
SUNGAI SIPUT: Hujan lebat beberapa jam menyebabkan beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat malam tadi.
Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Kledang Fasa II, Kampung Che Zainal dan Kampung Muhibbah.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, ada di antara kawasan perumahan itu yang dinaiki air sehingga 1.5 meter.
Pihak bomba turut terlibat memindahkan mangsa ke rumah jiran, apabila rumah mereka dinaiki air.
Banjir kilat juga menyebabkan beberapa kenderaan kecil terperangkap di jalan raya sekitar kawasan berkenaan.
BACA: JPS nasihat orang ramai peka, siap sedia hadapi fasa peralihan monsun
Bagaimanapun, keadaan banjir kini surut sementara pasukan penyelamat terus melakukan pemantauan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.
Operasi melibatkan anggota bomba dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, dibantu anggota dari BBP Ipoh, di samping Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru serta Chemor.
#hujan lebat #banjir kilat #Sungai Siput #JBPM Perak