Banjir kilat: Beberapa jalan utama di Sabah tidak boleh dilalui

Astro Awani
Julai 1, 2024 08:00 MYT
Kini kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan namun buat masa ini tiada jalan alternatif yang boleh digunakan pengguna. - Foto Facebook/Jabatan Kerja Raya Sabah
PENAMPANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan beberapa jalan utama tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berikutan banjir kilat.
Antrananya Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom, Jalan Limbanak dan Jalan Pukakon-Pomotodon di Penampang.
Selain banjir kilat, terdapat juga kejadian cerun runtuh di Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom sekitar Kampung Timpoluon.
Kini kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan namun buat masa ini tiada jalan alternatif yang boleh digunakan pengguna.
JKR memaklumkan banjir kilat turut menyebabkan beberapa jambatan di Jalan Limbanak dan Jalan Pukakon-Pomotodon dinaiki air serta boleh membahayakan situasi kepada pengguna.
Buat masa ini juga tiada jalan alternatif untuk pengguna di kedua-dua jalan tersebut.
Banjir kilat juga berlaku di beberapa kawasan sekitar Sipitang antaranya Jalan Kota Kinabalu-Sindumin, kawasan pekan Sipitang dan Pasar Awam Sipitang.
Hujan berterusan menyebabkan paras air laut naik dan menyebabkan 'backflow discharge drainage'.
Buat masa ini jalan terlibat masih boleh dilalui kenderaan, namun pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam satu kenyataan memaklumkan beberapa kampung turut terlibat dalam banjir kilat itu antaranya Kampung Kolopis dan Kampung Sugud selain terdapat penutupan jalan dilakukan.
Orang awam diminta untuk merancang perjalanan dan menggunakan laluan lain berikutan beberapa jalan di sekitar Penampang dinaiki air susulan hujan lebat.
Anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang telah ditugaskan ke kawasan jalan dilanda banjir kilat untuk membantu pengguna jalan raya.
Anggota bertindak melencongkan kenderaan supaya tidak melalui jalan yang dinaiki air akibat banjir dan tanah runtuh selain mengawal keselamatan lalu lintas.
#banjir kilat #JKR #jalan tutup #cerun runtuh
;