Banjir kilat: 57 penduduk dua kawasan di Sungai Siput dipindahkan

Abd Razak Mohd Ali
Mei 1, 2021 23:13 MYT
JBPM Perak menerima maklumat mengenai kejadian banjir kilat di Sungai Siput pada kira-kira jam 10 malam tadi. - Foto JBPM Perak
SUNGAI SIPUT: Seramai 57 penduduk dua kawasan di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dilanda banjir kilat awal pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, banjir kilat kira-kira satu meter itu berlaku di Kampung Verasamy dan Taman Muhibbah Jaya II.
“Operasi pemindahan mangsa berjaya dilakukan, melibatkan seramai 57 orang dari sekitar Kampung Verasamy, Jalan Lintang.
“PPS telah dibuka di Majlis Perbandaran Sungai Siput bagi menempatkan semua mangsa,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
BACA: Banjir kilat melanda taman perumahan di Sungai Siput
Menurut jurucakap itu, selain PPS, sebahagian mangsa banjir telah berpindah ke rumah saudara mara terdekat.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Zakaria tamat kira-kira jam 2.30 pagi.
#banjir #bomba #PPS #pusat pemindahan #JBPM #mangsa banjir #Sungai Siput #pindah #Taman Muhibbah Jaya II #JBPM Perak #Kampung Verasamy