Banjir kilat: 45 penuntut, pengajar terperangkap diselamatkan
Bernama
Disember 8, 2022 21:24 MYT
Disember 8, 2022 21:24 MYT
SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan 45 pelajar dan tenaga pengajar yang terperangkap di Bangunan Giatmara akibat banjir di Jalan Pantai berhampiran Empangan Terip, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohammad Idris berkata hujan lebat sejak 3 petang tadi mengakibat banjir sedalam 0.6 meter di kawasan terbabit.
"Kesemua mangsa tersebut dibawa keluar dengan menaiki lori dan telah pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu Mohamad berkata banjir kilat turut berlaku di Kampung Mayor, dekat sini melibatkan 12 mangsa daripada sebuah keluarga.
Katanya bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 3.50 petang.
"Mangsa terlibat adalah lima lelaki, lima perempuan dan seorang lelaki dan seorang perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) berada dalam keadaan selamat dan dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Pantai sehingga banjir surut," katanya.
-- BERNAMA