Banjir kilat: 26 penduduk Kampung Laut Batu 10 Skudai ditempatkan di PPS

Bernama
Ogos 20, 2022 00:19 MYT
Seramai 26 penduduk daripada lapan keluarga di Kampung Laut Batu 10 di Skudai ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat. - Foto ihsan bomba
JOHOR BAHRU: Seramai 26 penduduk daripada lapan keluarga di Kampung Laut Batu 10 di Skudai di sini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat.
Kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru memaklumkan PPS Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 dibuka dan mula beroperasi pada 7.30 malam ini bagi menempatkan kesemua mangsa.
"Proses pemindahan mangsa dari lokasi banjir ke PPS sedang diusahakan dan laporan dari semasa ke semasa akan dikemas kini," katanya.
Terdahulu, beberapa kawasan di daerah ini dan Kulai dinaiki air berikutan hujan lebat kira-kira dua jam sejak 2 petang.
Antara kawasan yang terkesan ialah Kampung Jaya Sepakat dan Taman Aman di Kulai manakala di Johor Bahru ialah Kampung Maju Jaya dan Kampung Laut Batu 10, Skudai.
Setakat ini, hanya sebuah PPS dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
-- BERNAMA
#banjir kilat #Skudai #Kampung Laut Batu 10 #Johor #Pusat Pemindahan Sementara #PPS
;