Banjir kilat: 209 mangsa dari 73 keluarga dipindahkan ke PPS di Perak Tengah

Abd Razak Mohd Ali
Mei 23, 2024 09:20 MYT
Limpahan air parit memasuki kawasan perumahan penduduk dan melintasi jalan utama di dua buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bota. - Foto APM Perak Tengah
IPOH: Seramai 209 mangsa daripada 73 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Perak Tengah apabila rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan, kesemua mereka dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Simpang 3, Parit yang dibuka jam 9 malam.
Menurutnya, hujan lebat lebih dua jam telah menyebabkan kediaman mereka di Kampung Serapoh dan Simpang 3 Buluh Akar, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bota, dinaiki air.
Katanya, kira-kira jam 7.58 malam tadi, pihaknya menerima panggilan yang memohon bantuan untuk membuat pemantauan kenaikan air di kedua-dua kampung berkenaan.
“Angkatan Pertahanan Awam Perak Tengah yang sampai lokasi mendapati terdapat beberapa buah rumah dinaiki air di halaman dan tidak selamat diduduki,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Menurut kenyataan itu lagi, limpahan air parit telah memasuki kawasan perumahan penduduk kampung dan melintasi jalan utama.
#PPS #hujan lebat #banjir kilat #banjir
;