Banjir kilat: 20 penduduk dipindahkan ke PPS di Kuala Muda

Bernama
Disember 13, 2020 10:39 MYT
Semua mangsa yang terdiri daripada tujuh keluarga itu ditempatkan di Dewan Komuniti KOSPEN Kampung Bukit Belah. -Bernama
SUNGAI PETANI: Seramai 20 penduduk dari beberapa kawasan di Daerah Kuala Muda dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat sejak petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata semua mangsa yang terdiri daripada tujuh keluarga itu ditempatkan di Dewan Komuniti KOSPEN Kampung Bukit Belah.
"Hujan lebat yang turun mulai 3 petang Sabtu menjejaskan beberapa kawasan antaranya Kampung Haji Wahab, Taman Sutera Idaman, Kampung Bukit Belah, Taman Kenari Jaya dan di belakang Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Min Terk.
"Paras air naik sekitar 0.25 hingga 0.3 meter di kawasan berkenaan, bagaimana pun ada penduduk terjejas yang enggan berpindah ke PPS walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya, paras air ketika ini menunjukkan penurunan susulan cuaca baik dan jika keadaan itu berterusan semua mangsa akan dibenarkan pulang dalam tempoh beberapa jam lagi.
Mengenai banjir itu, Azahar memberitahu ia adalah kejadian kedua dalam tempoh sebulan yang dipercayai berlaku akibat sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik.
-- BERNAMA
#PPS #pusat pemindahan #Pusat Pemindahan Sementara #Daerah Kuala Muda #Dewan Komuniti KOSPEN Kampung Bukit Belah #Azahar Ahmad #Kampung Haji Wahab #Taman Sutera Idaman #Kampung Bukit Belah #Taman Kenari Jaya
;