Banjir kilat: 10 keluarga dari Kampung Larut Ulu dipindah ke PPS

Aida Aziz
Ogos 28, 2022 05:45 MYT
Petugas yang terbabit dalam pengurusan mangsa banjir di Changkat Jering, Perak ialah anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. - Foto APM
CHANGKAT JERING: Sejumlah 10 keluarga membabitkan 39 mangsa banjir di Kampung Larut Ulu di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Air Kuning, susulan banjir kilat yang melanda pada petang Ahad.
Banjir kilat itu turut dipengaruhi oleh faktor hujan lebat pada petang Ahad dan berterusan sehingga malam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut Matang Selama berkata, PPS itu mula dibuka pada jam 8 malam tadi.
Katanya, 39 mangsa banjir itu meliputi lelaki dewasa (11), wanita (12), kanak-kanak lelaki (4), kanak-kanak perempuan (11) dan bayi lelaki (1).
Petugas yang terbabit dalam pengurusan mangsa banjir di PPS ialah anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (7), APM (15) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (15).
Sebelum ini, media melaporkan hujan lebat berterusan sejak petang Ahad menyebabkan beberapa kawasan perumahan di sekitar Taiping dinaiki air susulan banjir kilat.
Jurucakap JBPM Perak berkata, antara kawasan yang terjejas termasuk Taman Seri Kota Fasa II, Kampung Sempadan, Kampung Air Kuning dan Taman Kuning Sari.
#PPS #mangsa banjir #hujan lebat #Kampung Larut Ulu Changkat Jering
;