Banjir: Kerja menyelamat penduduk Taman Sri Muda giat dijalankan

Sinar Harian
Disember 20, 2021 10:24 MYT
Antara mangsa terkandas yang berjaya diselamatkan dan dipindahkan dari kawasan banjir di Taman Sri Muda. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Usaha memindahkan dan membawa keluar penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang terkandas akibat banjir sejak Sabtu masih giat dijalankan pada pagi Isnin.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertungkus-lumus melaksanakan misi itu menggunakan bot dengan dibantu pelbagai badan sukarelawan.
Sukarelawan yang ditemui memaklumkan usaha tersebut dilakukan secara berterusan termasuk pada malam tadi meskipun berdepan kesukaran.
Pada pagi Isnin, ketinggian air di kawasan berkenaan menunjukkan penurunan dan dijangka lebih ramai mangsa dapat dibawa keluar susulan pertambahan bantuan pelbagai pihak.
Seorang keluarga mangsa yang ditemui berkata, keluarganya terperangkap di rumah sejak Sabtu lalu.
*Berita asal di Sinar Harian
#banjir #bomba #pasukan penyelamat #taman sri muda
;