Banjir: Kereta tenggelam, Zainal Abidin tenang terima ujian Allah

Gempak
Disember 24, 2021 19:02 MYT
Zainal Abidin mendedahkan kenderaan miliknya rosak teruk dan separuh kediaman yang terletak di sekitar Sri Muda turut ditenggelami air. - instagram @zainalhijau
BENCANA banjir yang melanda Selangor khususnya di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam rupa- rupanya turut memberi impak kepada penghibur tersohor negara, Datuk Zainal Abidin apabila menjadi salah seorang mangsa bah tersebut.
Menerusi sebuah video yang dikongsikan dalam Instagramnya semalam, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Hijau itu mendedahkan, semua kenderaan miliknya rosak teruk dan separuh kediamannya turut ditenggelami air.
Meskipun diuji dengan tragedi itu, namun, Zainal tetap bersyukur kerana tidak mengalami kerugian dan kerosakan seperti mangsa banjir lain.
“Rumah saya tidaklah teruk rosak, sedikit harta benda di bahagian bawah, semua kereta kereta saya ditenggelami air. Tapi oleh kerana saya mempunyai sahabat dan kaum keluarga, jiran yang baik mereka banyak membantu.
"Ini adalah ujian Allah, Allah sayang kita, Allah uji kita. Kita haruslah tabah dan bertawakal kepada Allah,” ujar Zainal tenang.
Sambil berterima kasih kepada keluarga, sahabat, jiran, agensi kerajaan dan pihak persendirian yang membantunya, Zainal tetap bersyukur dan menerima ujian Allah dengan tenang.
“Insya-Allah yang terburuk adakalanya akan bertukar menjadi yang terbaik,” katanya mengakhiri video tersebut seperti ditonton Gempak.
Sementara itu, Zainal yang menetap di Shah Alam bersama isteri dan anaknya dalam satu temubual bersama media mengaku tidak mahu ada pihak menganggap pendedahan mengenai dirinya juga menjadi mangsa banjir disalah erti atau cuba meraih simpati.
Ini adalah kerana, katanya, ramai mangsa lain yang mengalami kerosakan harta benda yang lebih parah berbanding dirinya.
BACA: Rumah hilang sekelip mata, Ebby Yus tabah, sabar dan berlapang dada terima ujian Allah
BACA: Banjir: Rumah Ebby Yus yang dalam pembinaan dihanyutkan air
Untuk rekod, Zainal bukan satu-satunya karyawan hiburan yang turut menjadi mangsa banjir.
Seorang lagi selebriti yang menjadi mangsa banjir dengan kehilangan rumah yang dalam pembikinan sehingga kerugian sekitar RM200,000 adalah pelawak dan pelakon terkenal, Ebby Yus.
#shah alam #Datuk Zainal Abidin #mangsa banjir #Ebby Yus
;