Banjir: Kerajaan terima RM35.8 juta sumbangan syarikat korporat dalam tempoh 48 jam - PM

Khalis Khadir
Disember 4, 2024 16:30 MYT
Perdana Menteri (dua,kiri) menerima Dana Ihsan Madani daripada Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad Yeoh Keong Hann (dua,kanan) hari ini. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya meraih sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 buah syarikat swasta dan badan korporat bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh negara.

Ringkasan AI
  • Sumbangan RM35.8 juta untuk mangsa banjir: Kerajaan berjaya mengumpul RM35.8 juta daripada 23 syarikat swasta dan badan korporat untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.
  • Pengurusan dana oleh ICU JPM: Dana tersebut akan diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk baik pulih kemudahan awam seperti sekolah dan hospital yang terjejas akibat banjir.
  • Elak penyalahgunaan dana: Perdana Menteri menekankan pentingnya penyelarasan dana untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa yang memerlukan dan mengelakkan penyalahgunaan dana awam.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kesemua dana itu akan diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
"Inisiatif kutipan sumbangan ini lahir secara spontan dan ia berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua hari. Sumbangan ini akan digunakan bagi baik pulih kemudahan awam termasuk sekolah dan hospital (fasiliti kesihatan) yang terjejas akibat banjir.
"Saya dimaklumkan ada sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan sudah tentunya tandas serta lantai akan rosak. Selain peruntukan sedia ada, dana ini akan digunakan untuk menampung kerosakan kemudahan awam ini selain makanan dan minuman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Rabu.
Penyerahan sumbangan itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.
Sumbangan itu diterima daripada YTL Corporation Berhad dan Yayasan Albukhary yang masing-masing menyumbang RM5 juta, manakala Sapura Secured Technologies dan U Mobile Sdn Bhd masing-masing RM3 juta.
Selain itu, turut menyumbang ialah Mah Sing Group Bernad, WCT Berhad, lJM Corporation Bernad, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Berjaya Corporation Berhad dan Press Metal Berhad masing-masing menyumbangkan sebanyak RM2 juta.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, keputusan beliau agar dana berkenaan diuruskan ICU JPM bagi mengelakkan dana awam yang dikutip pelbagai pihak daripada orang awam disalahgunakan dan tidak sampai kepada mangsa banjir.
“Saya perhatikan, sumbangan dan orang derma ini merata-rata. Jika ia diselaras kita dapat tahu sekolah (PPS) mana yang perlu termasuk jumlah mangsa terjejas. Orang di bawah (penyelaras di PPS) tahu. Kalau kita pergi sendiri, tempat yang dapat bantuan kita pergi bantu lagisebab itu ia perlu diselaras supaya lebih efisien," ujarnya.
"Satu perkara lain yang kita jadi masalah adalah kadang-kadang sumbangan derma ini berjuta, semua orang kutip. Itu pun masalah juga seperti mana kes Gaza. Semua orang kutip, kadang-kala tak tahu ke mana. Kadang-kala dia yang tentukan keutamaan mereka sendiri,” ujarnya lagi.
#Ihsan Madani #Anwar Ibrahim #kumpul sumbangan #mangsa banjir #swasta dan korporat #monsun timur laut #terkini
;