Banjir: Kerajaan Selangor teliti pelaksanaan terowong SMART - MB
Hasimi Muhamad
Februari 5, 2022 18:02 MYT
Februari 5, 2022 18:02 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti kajian terhadap pelaksanaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) di negeri itu dalam usaha mengatasi masalah banjir.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya menyambut baik sebarang cadangan sebagai langkah mengatasi bencana alam itu.
"Isunya ialah bagaimana kajian itu dapat menyelesaikan dan menampung lebihan air, apa yang berlaku pada Disember lepas ialah hujan yang lebat itu tak mampu ditanggung dengan sistem saliran dan diikuti pula dengan (kejadian) air pasang besar.
"Jadi kalau kita dapat sediakan tampungan yang besar dan banyak pada satu-satu masa, jadi ia akan mengurangkan risiko di satu-satu tempat tertentu terutamanya di Taman Sri Muda dan Hulu Langat yang (dilanda banjir) teruk," katanya dalam sidang media khas sempena jualan ayam murah di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada Sabtu.
Katanya, ketika ini Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur negeri, Izham Hashim sedang mengumpulkan idea mengenai pembinaan terowong tersebut serta inisiatif-inisiatif lain.
Ia termasuk penggunaan teknologi seperti di Jepun dan pembinaan takungan di pesisir sungai.
"Itu pun memang ada dalam kaedah dan penyelesaian kita. Tetapi bagaimana kita nak laksanakan dengan cepat dan berkesan," ujar beliau.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain pembinaan terowong SMART, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) turut bersetuju secara dasar bagi membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti 'sponge city' di China.