Banjir: Kerajaan disaran pantau tahap kebersihan di PPS - Pakar
Farhan Hakimi
Disember 11, 2024 11:00 MYT
Disember 11, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memantau tahap kebersihan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan meneliti keperluan fasiliti sanitasi mangsa serta memastikan kemudahan asas seperti sistem saliran tandas, dapat berfungsi dengan baik.
Menurut Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman, ini kerana tahap kebersihan diri dan keadaan logistik yang kurang memberangsangkan menjadi punca penularan penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa.
"Sehubungan dengan itu, pada pandangan saya, untuk memastikan kualiti air tidak tercemar, sepanjang penempatan mangsa banjir, mereka perlu dibekalkan air bersih.
"Kalau katakan tiada 'water dispenser', mungkin mereka boleh guna air botol yang biasanya dibekalkan dalam kotak atau dalam bentuk pek.
"Pastikan juga sumber air ini sahaja yang digunakan untuk diminum atau membasuh.
"Jangan guna air banjir atau air tercemar untuk mencuci perkakas makan dan sebagainya," katanya dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Katanya lagi, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mempersiapkan tisu basah dan plastik sampah untuk dibekalkan di PPS.
Terdahulu, bagi banjir gelombang kedua, media melaporkan bahawa enam penyakit bawaan air dikesan di semua PPS negeri terjejas yang diaktifkan setakat Isnin.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, penyakit tersebut termasuk radang mata dan COVID-19.