Banjir: Kemahiran pengendalian bot antara cabaran saluran bantuan - PBSM

Nursyazwani Saiful Sham
Disember 20, 2021 11:26 MYT
Bantuan makanan dan perubatan diberi keutamaan kepada mangsa yang menghadapi masalah kesihatan termasuk ibu mengandung. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Cabaran utama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) ketika ini dalam usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas akibat banjir adalah kesukaran meredah banjir menggunakan bot.
Jelas Setiausaha Agungnya, Hakim Hamzah, kemahiran pengendalian bot amat diperlukan bagi mengelakkan berlakunya pelanggaran antara kenderaan dan papan tanda jalan yang tenggelam agar tidak berlaku kejadian tidak diingini.
“Cabaran yang dihadapi ialah apabila tiba waktu malam jadi banyak kawasan yang kekurangan cahaya jadi agak sukar untuk beri bantuan dan mencari mangsa untuk diselamatkan.
“Apatah lagi apabila arus deras, kemahiran untuk kendalikan bot amat penting. Ada agensi dan badan-badan yang ada bot tapi kemahiran dikala air deras amat penting agar dapat jaga keselamatan bukan sahaja mangsa yang hendak diselamatkan juga yang memberi bantuan menyelamat.
“Jika tidak mahir kendali bot, mungkin boleh bahayakan kedua-dua belah pihak selain arus deras, bantuan penduduk setempat juga amat penting, kerana kita perlu tahu kawasan yang ditenggelami agar tidak berlaku pelanggaran kereta dan papan tanda jalan,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Banjir | Perkembangan bantuan mangsa terjejas
Dalam pada itu jelasnya, bantuan makanan dan perubatan diberi keutamaan kepada mangsa yang menghadapi masalah kesihatan termasuk ibu mengandung, dan mereka yang baru menjalani pembedahan.
“Dari segi bantuan makanan, pada awalnya ramai yang mengalami kekurangan makanan akibat lama tersadai sehingga lebih 18 jam tidak dapat bantuan.
“Kami juga menyediakan ambulan di lebuhraya KESAS dengan bantuan doktor-doktor yang membuat pemeriksaan kerana mangsa terdiri daripada ibu mengandung. Jadi tahap hidrasi perlu diperiksa memandangkan tiada bekalan makanan diberikan pada awal,” ujarnya.
BACA: Tragedi Sri Muda: Banjir ragut empat nyawa
Terdahulu, media melaporkan tiga lagi mangsa banjir meninggal dunia dipercayai akibat lemas pada Isnin, menjadikan sejumlah empat individu terkorban setakat ini.
Ketiga-ketiga mereka termasuk dua warga tempatan tinggal di kawasan Sri Muda.
#banjir #taman sri muda #Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia #mangsa
;