Banjir Kelantan: Tetap berniaga demi kelangsungan hidup
Hilmi Malik
Disember 23, 2022 14:45 MYT
Disember 23, 2022 14:45 MYT
TUMPAT: Keadaan banjir yang masih memburuk di negeri Kelantan bukan penghalang buat seorang warga emas untuk tetap meneruskan perniagaan.
Tiada pilihan lain memandangkan masih mempunyai tanggungan yang perlu disara di rumah.
Rami Ismail yang berusia 73 tahun terpaksa mengerah keringat dengan meneruskan jualan buah-buahan di sekitar Kampung Cherang Melintang, di sini.
Menyedari keadaan banjir yang mungkin sedikit menjejaskan hasil jualan, warga emas yang semakin dimamah usia itu tetap bersemangat meraih punca pendapatan.
"Ya lah... banjir pun kita tetap kena berniaga, nak tanggung rumah semua memang susah sikit lah... sebab air banjir perniagaan pun agak merosot.
"Kawasan ini pun sekarang orang datang main air, kalau dulu memang laluan sini sibuk jadi ramai singgah membeli," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Tambahnya lagi, meskipun dalam keadaan banjir, perniagaan perlu diteruskan disebabkan bekalan buah yang tidak boleh bertahan lama.
Malah jika kesemua buah-buahan itu gagal dijual ia lebih bertambah merugikan.
"Susah memang susahlah... saya memang tiada pekerjaan lain dan bekalan buah pun tidak boleh tahan lama, lepas seminggu buah dah mula rosak," kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Rami masih bersyukur kerana sewa tapak perniagaannya itu masih mampu dibayar dengan kadar RM84 bagi tempoh setahun.
Jualan yang mungkin tidak seberapa namun itulah rezeki yang ada buat masa ini untuk menyara isteri dan beberapa orang cucu.
Ditanya mengenai keadaan rumah, warga emas itu juga merupakan antara mangsa banjir yang teruk terjejas.
Bagaimanapun, dia enggan berpindah kerana bimbang dengan keadaan rumah yang tidak dipantau selain untuk mengelakkan berlakunya kecurian.
Rami yang lebih mesra dengan panggilan 'Pak Soh Timur' itu mula berniaga seawal jam 10 pagi hingga 6 petang di laluan masuk kampung berkenaan.
Apa yang diharapkan agar musibah banjir itu segera pulih agar perniagaan buahnya kembali stabil dan mendapat permintaan.
Setakat ini, keadaan banjir di kampung tersebut masih dilaporkan kritikal susulan beberapa laluan yang terputus mengakibatkan bantuan juga gagal disalurkan.