Banjir Kelantan: Sawah padi hilang jadi "lautan"
Muhafandi Muhamad
Februari 26, 2022 15:48 MYT
Februari 26, 2022 15:48 MYT
RANTAU PANJANG: Benih padi yang disemai mulai tumbuh namun sawah pula ditenggelami air menjadi "lautan”. Itu senario yang dihadapi 34 pesawah padi dari Kampung Luar, Gual Periok dan Tersang di sini, pada Sabtu.
Jangkaan awal menganggarkan kerugian sudah melebihi RM500,000.
Menurut wakil pesawah, Azli Jaafar, banjir gelombang keempat yang melanda Rantau Panjang yang bermula semalam ini dianggap "luar jangka".
Menurut Azli, bencana luar jangka ini berlaku pada hujung bulan dan banjir juga berlaku tatakala ini.
“Banjir ini tidak dapat dijangka bila habisnya,” kata pesawah, Saari Ismail.
Menurut petani Jahari Ismail, dia merayu agar Kerajaan lebih prihatin untuk membina gate air bagi mengatasi masalah banjir berkenaan.
Sawah padi yang berusia sebulan itu menjadi lautan berikutan hujan lebat dan limpahan air Sungai Golok dan mula ditenggelami air sedalam hampir dua meter, awal pagi Sabtu.
Kumpulan pesawah itu telah memulakan semaian lewat dari waktunya, bagi mengelakkan kejadian seumpama ini, namun mereka tidak menyangka ianya berulang lagi.
Para petani yang menanggung kerugian tanaman di daerah ini memohon belas ihsan kerajaan supaya disalurkan pampasan bagi menampung kerugian.