Banjir Kelantan: Penduduk naik bot ke masjid

Sinar Harian
Disember 29, 2023 17:09 MYT
Pekarangan masjid itu turut digenangi air setinggi 0.7 meter menyebabkan jemaah yang hadir terpaksa menaiki bot untuk ke masjid berkenaan. -Foto Sinar Harian
TUMPAT: Solat Jumaat di Masjid Mukim Bendang Pak Yong, di sini tidak dapat dilaksanakan berikutan jemaah tidak mencapai 40 atau lebih kerana terjejas banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) sejak Rabu.
Pekarangan masjid itu turut digenangi air setinggi 0.7 meter menyebabkan jemaah yang hadir terpaksa menaiki bot untuk ke masjid berkenaan.
Imam Muda Masjid Mukim Bendang Pok Yong, Roszaidi Abdul Rashid berkata, berikutan keadaan itu, solat Jumaat tersebut ditukar kepada solat Zuhur berjemaah.
“Hari ini hanya 30 anak mukim yang hadir ke masjid bertujuan bersolat Jumaat, namun tidak dapat dilakukan kerana cukup 40 jemaah.
“Saya menunggu kehadiran mereka bermula jam 12 tadi dan selepas masuk waktu, jumlah masih juga mencukupi kerana ada anak mukim atau ketua keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Bendang Pak Yong, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, pengalaman mengimamkan solat jemaah dalam keadaan banjir itu pertama kali dilalui selepas ditugaskan sebagai imam muda masjid berkenaan bermula Mei lalu.
“Tahun lepas ada solat Jumaat dilaksanakan semasa dalam banjir manakala saya pula baharu sahaja dilantik menjadi imam muda di masjid ini dan ini pengalaman baharu buat saya,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Che Abdul Rahman Che Mamat, 74, berkata, menggunakan bot sendiri untuk ke masjid itu bagi menunaikan solat Jumaat bersama tiga lagi ahli keluarganya semasa pekarangan kediaman mereka dinaiki banjir setinggi 0.5 meter.
“Bagi penduduk yang memiliki bot sendiri, bolehlah mereka datang ke masjid ini.
“Kalau tidak ada bot, maka tidak boleh kerana arus dalam dan deras atau boleh gunakan perkhidmatan bot tambang sekitar RM5 hingga RM10 sehala mengikut jarak yang disediakan oleh penduduk sendiri,” ujarnya.
Dalam perkembangan banjir di daerah itu, lebih 10 kampung melibatkan 5,000 penduduk terjejas antaranya di Kampung Kuala Jambu, Kubang Sawa, Bendang Pok Yong, Kajang Sebidang Simpangan, Teluk Jering, Derdap, Jejulok, Palas Merah dan Naga Ibu. -Sinar Harian
#banjir #naik bot ke masjid #Masjid Mukim Bendang Pak Yong #monsun timur laut
;